KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) masih melaksanakan kajian terperinci berhubung pelaksanaan kembali Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menterinya Dr Maszlee Malik.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, kajian itu termasuk mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.
“KPM sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan anak-anak kita supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.
“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kajian pelaksanaan semula PPSMI akan mengambil kira sistem baharu menggunakan IT (teknologi maklumat).
BACA: Kementerian kaji pelaksanaan semula PPSMI
Sewaktu menjawab soalan di persidangan Dewan Rakyat, Dr Mahathir berkata, sistem baharu itu termasuk pengajaran yang dirakam guru terbaik dan digunakan di semua sekolah.
“Ia adalah pengajaran yang direkod oleh guru yang terbaik, yang akan diguna di semua sekolah, supaya kecekapan guru yang terbaik dapat dinikmati oleh semua murid dan penuntut,” katanya lagi.
Recent Comments