KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu menyedari bahawa kemahiran berbahasa Inggeris perlu diterapkan kepada para pelajar sekolah di negara hari ini dalam mendepani Revolusi Industri (IR) 4.0, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurut Maszlee, bidang sains, pengatucaraan komputer, kepintaran buatan (AI) dan lain-lain dalam bidang teknologi menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Jelas beliau, ibu bapa perlu memastikan anak-anak menguasai kemahiran dalam IR4.0 kerana banyak peluang pekerjaan baharu akan wujud pada masa akan datang.

“Di era IR4.0 ini, kurikulum kita mesti menjurus kepada IR4.0, kita perlu akui bahasa teknologi IR4.0 adalah berasaskan bahasa Inggeris. Sains, robotik, pengaturcaraan, semuanya berteraskan bahasa Inggeris.

“Kalau nak kuasai segmen itu kita memerlukan bahasa Inggeris,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran laporan tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, di sini, pada Isnin.

Dr Maszlee juga menjelaskan banyak peluang-peluang pekerjaan dan kepakaran baharu yang tidak pernah ada pada masa ini akan wujud kesan daripada IR4.0.

“Kita melihat dalam menghadapi IR4.0 kita dihadapkan kepakaran yang tak pernah wujud, bidang yang dulunya tidak ada.

“Ini buka ruang pekerjaan baru, pekerjaan yang wujud 20-30 tahun akan datang tidak wujud 20 hingga 30 tahun lepas.

“Kita perlu lengkapkan anak-anak kita dengan kemahiran IR4.0 dan kebanyakan kemahiran ini yang mana bahasa untuk memahaminya adalah bahasa Inggeris,” katanya lagi.

Pada 16 Julai, perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan mengkaji pelaksanaan semula dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan menggunakan sistem baharu.

Dr Mahathir berkata dengan penggunaan teknologi maklumat (IT), pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah sekali gus kecekapan mereka dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.

Sebelum itu, dalam ucapannya Maszlee berkata Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 mendedahkan pencapaian kadar lulus bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menurun daripada 79.1 peratus pada 2017 kepada 78.4 peratus pada 2018.

“Walaupun perhatian dan pelaburan besar diberikan terhadap Inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris serta tumpuan khusus diberikan kementerian terhadap usaha ini pencapaian kadar lulus bahasa Inggeris peringkat SPM telah menurun.

“Walaupun sasaran kita hanyalah untuk mengambil guru-guru terbaik ke dalam Institut Latihan Guru, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, guru-guru pelatih dalam kalangan murd berpencapaian tinggi SPM menurun secara konsisten,” katanya.

Maszlee juga berkata KPM sedang melihat semula PPPM 2013-2025 untuk memastikan kesesuai dengan keadaan semasa.

“Walaupun visi dan misi kita kekal sama, cara kita melaksanakan sesuatu kerja perlu ditambah baik secara drastik,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.